Kepentingan Pelembap

Kepentingan Pelembap

Rasanya ke mana sahaja anda melihat hari ini, anda akan melihat iklan yang cuba mendorong anda untuk membeli sesuatu. Iklan penjagaan kulit wajah tidak berbeza. Mereka sekadar mencuba membuatkan anda membeli produk penjagaan kulit. Terdapat banyak produk penjagaan kulit di luar sana – antaranya pembersih, toner, serum, krim mata, retinoid, dan pelembap.

Sebilangan produk ini memang mempunyai fungsi yang jelas dalam rutin penjagaan kulit, namun bagaimana pula dengan pelembap? Adakah benar-benar perlu untuk memasukkan pelembap dalam rutin penjagaan kulit anda jika anda fikir anda sudah minum air secukupnya setiap hari? Ya. Jawapannya adalah ya. Ini kerana pelembap dapat membantu anda mengekalkan kulit yang sihat.

Kulit merupakan organ terbesar di dalam badan anda dan salah satu fungsi utamanya adalah sebagai penghalang, untuk melindungi tubuh daripada bakteria berbahaya, bahan kimia, dan radiasi. Penghalang ini juga berfungsi untuk menjaga kelembapan dalam tubuh serta mencegah dehidrasi.

Anatomi Kulit

Untuk lebih memahami bagaimana fungsi kulit sebagai penghalang, kita perlu terlebih dahulu memahami anatomi asas kulit. Saya pasti andamasih ingat daripada sekolah menengah bahawa kulit terbahagi kepada 3 lapisan: epidermis (lapisan paling luar), dermis dan hypodermis (lapisan paling dalam). Epidermis dibahagikan lagi kepada 5 lapisan, tetapi satu-satunya yang akan kita bincangkan adalah stratum corneum (SC), memandangkan ianya juga lapisan paling luar epidermis, kerana ia adalah lapisan yang paling penting bagi fungsi penghalang kulit.

SC biasanya diibaratkan seperti model “bata dan mortar”. Sel-sel kulit yang dikenali sebagai korneosit dianggap sebagai “batu bata”, sementara lipid antara sel – lemak – dianggap sebagai “mortar”, menyatukan seluruh struktur. Lipid ini juga bertindak sebagai penghalang kalis air untuk SC, dan lipid inilah yang hilang semasa anda mencuci muka. Di sinilah pelembap berperanan, dengan menggantikan lipid yang menyatukan seluruh struktur SC.

Walaupun lipid bertindak sebagai penghalang kalis air, sedikit air masih diperlukan dalam SC untuk membolehkan kulit menjadi cair. Fikirkannya begini, jika SC anda keras dan kaku, ketika anda meletakkan kaki anda di permukaan yang keras dan memberi tekanan, kulit anda akan pecah. Sedangkan dengan sedikit air, anda akan mendapat fleksibiliti dan ketahanan pada kulit. Sudah tentu ada banyak lagi perkara mengenai peranan air dalam SC, kerana ia juga mengawal enzim yang membantu memecahkan korneosit. Tanpa air, korneosit akan berkumpul, kulit anda menjadi bersisik dan bukannya terkelupas dengan baik, danseterusnya SC menjadi tidak teratur dan penuh dengan retak dan bukannya tersusun kemas.

Bahan-bahan di dalam Pelembap

Seperti disebutkan sebelumnya, pelembap membantu menggantikan lipid yang memegang struktur SC. Semasa memilih pelembap, seseorang perlu mengetahui apa bahan-bahan penting dalam pelembap dan bagaimana ramuan ini membantu mengekalkan dan memperbaiki SC. Pelembap yang baik harus snetiasa mengandungi 3 bahan utama ini:

  • Oklusif

Oklusif bertindak sebagai lapisan berminyak yang tidak dapat ditembusi di permukaan kulit untuk menghalang penyejatan air. Mereka biasanya terdiri daripada bahan yang pekat dan berminyak seperti petrolatum atau lilin. Oklusif yang biasa digunakan termasuklah alkohol cetyl, lanolin, lesitin, minyak mineral, parafin, dan asid stearat. Derivatif silikon seperti dimethicone dan cyclomethicone juga boleh berfungsi sebagai oklusif. Produk bebas minyak bergantung pada dimethicone sebagai oklusif dan bukannya menggunakan minyak mineral atau minyak sayuran.

  • Emolien

Emolien adalah bahan yang mengisi ruang antara korneosit, yang memberikan permukaan yang halus dan bersinar pada kulit. Emolien yang sering digunakan termasuklah mentega, minyak, ester, lipid, dan asid lemak. Kebanyakan oklusif juga bertindak sebagai emolien, seperti dimethicone dan cyclomethicone. Sebilangan besar emolien juga membantu menyihatkan kulit, jadi anggap ianya sebagai makanan sihat untuk kulit.

  • Humektan

Humektan adalah seperti span, secara teorinya mereka menarik air ke SC dari lapisan kulit yang lebih dalam. Ini membolehkan kulit menjadi lebih halus apabila air mengisi ruang dalam SC. Asid hyaluronik adalah salah satu humektan yang popular untuk digunakan dalam pelembap kerana ianya boleh ditemui secara semula jadi di dalam kulit. Humektan lain yang sering diguna termasuklah gliserin sayur, madu, sorbitol, dan lesitin. Humektan berpotensi menjadikan kulit lebih kering dengan menarik air ke dalam SC yang rosak yang tidak mampu menampung kelembapan, jadi mereka selalu digunakan dengan oklusif untuk memerangkap kelembapan di dalam SC.

Asas tentang bagaimana pelembap berfungsi adalah bahawa pertama, humektan menarik air dari lapisan kulit yang lebih dalam (atau dari persekitaran jika kelembapan persekitaran melebihi 70%) ke permukaan kulit. Kemudian oklusi memerangkap air agar kekal di tempatnya sementara emolien memperbaiki permukaan kulit secara estetik dengan mengisi ruang antara korneosit.

Selain tiga bahan utama yang disenaraikan di atas, kadangkala pelembap mengandungi bahan aktif untuk memenuhi keperluan tertentu. Beberapa bahan aktif yang biasa digunakan dalam pelembap termasuk ceramides, oatmeal koloid, dan antioksidan. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan pelembap yang mengandungi ceramides adalah jauh lebih baik dalam meningkatkan penghidratan kulit dan membantu meningkatkan tahap lipid intraselular di dalam SC. Sementara itu, pelembap yang mengandungi oatmeal koloid didapati dapat mengurangkan kekeringan dan kegatalan kulit dengan ketara.

Kesimpulan

Melembap adalah satu langkah yang sering ditinggalkan oleh ramai orang dalam rutin penjagaan kulit mereka kerana mereka menganggapnya tidak perlu. Tetapi ini tidak benar sama sekali. Dengan menggunakan pelembap anda, anda secara konsisten memastikan sel kulit anda terhidrat, yang akan membantu mencegah jerawat dan memastikan kulit yang lebih baik.

Apabila memilih pelembap, kenal pasti terlebih dahulu adakah terdapat sebarang masalah kulit yang perlu ditangani. Sekiranya masalahnya adalah kulit kering, pertimbangkan untuk mencari pelembap yang mengandungi ceramides dan oatmeal koloid. Akan tetapi jika anda mempunyai kulit yang normal dan sihat, pelembap yang mengandungi tiga ramuan utama yang disenaraikan di atas sudah mencukupi. Menjaga kulit adalah sangat penting sebagai tanda kita menyayangi diri kita dan menggunakan pelembap untuk memastikan kulit anda kekal sihat harus menjadi bahagian penting dalam rutin penjagaan kulit anda.

 

No Comments

Leave a Comment

error: Content is protected !!