Bagaimana untuk Mengenalpasti Jenis Kulit Anda

Bagaimana untuk Mengenalpasti Jenis Kulit Anda

ss

Adakah anda sebenarnya tahu jenis kulit anda? Mengetahui jawapan untuk soalan ini adalah langkah pertama yang penting bagi mengetahui cara paling berkesan untuk menjaga kulit anda. Ia mungkin terasa seperti pencarian yang sukar dan sering membingungkan untuk mencari jawapannya, tetapi izinkan saya meyakinkan anda bahawa ianya benar-benar berbaloi meluangkan masa untuk mengetahui kerana walaupun semua jenis kulit mendapat manfaat daripada menggunakan produk seperti pembersih dan pelembap, namun apa yang anda guna akan bergantung pada jenis kulit anda. Jangan khuatir, di sini kami mempunyai panduan ringkas untuk membantu anda mengenal pasti jenis kulit anda, agar anda dapat memberikan kasih sayang dan penjagaan yang sesuai.

Bercakap mengenai jenis kulit, adakah anda tahu bahawa istilah ini dicipta pada awal tahun 1900-an oleh seorang pengusaha kosmetik, Helena Rubinstein? Dia mengatakan bahawa terdapat empat jenis kulit yang utama: kering, berminyak, kombinasi dan sensitif. Sejak itu, industri kosmetik telah menggunakan pengkategorian yang sama dengan sedikit atau hampir tidak ada pengubahsuaian, sehingga kini.

Cara-cara Menentukan Jenis Kulit

Terdapat dua cara yang mudah untuk menentukan jenis kulit anda di rumah tanpa perlu berjumpa dengan pakar dermatologi.

#1 Ujian mencuci

Untuk ujian ini, basuh wajah anda dengan pembersih yang ringan dan jangan gunakan sebarang produk penjagaan kulit di wajah anda selepas itu. Tunggu 30 minit sebelum memeriksa kulit anda.

Bagaimanakah kulit anda kelihatan? Sekiranya kulit anda kelihatan berkilat di pipi dan zon-T anda, kemungkinan besar anda mempunyai kulit berminyak. Sekiranya kulit anda terasa ketat dan kelihatan mengelupas di kawasan tertentu, kemungkinan besar anda mempunyai kulit kering. Atau jika zon-T anda berkilat tetapi seluruh wajah anda kebanyakannya kelihatan matte, maka anda mungkin mempunyai kulit kombinasi. Sekiranya kulit anda terasa gatal dan kelihatan kemerah-merahan, anda mungkin mempunyai kulit sensitif.

# 2 Ujian blotting

Kaedah lain untuk menentukan jenis kulit anda di rumah adalah dengan menggunakan kertas penyerap minyak yang bersih pada bahagian wajah anda yang berlainan. Setelah selesai, perhatikan kertas tersebut di depan sumber cahaya untuk melihat berapa banyak minyak yang telah diserap.

Sekiranya lapisan kertas menyerap banyak minyak, maka kemungkinan besar anda mempunyai kulit berminyak. Namun, berbeza pula bagi kulit kering. Sekiranya terdapat sedikit minyak yang diserap, anda mungkin jenis kulit kering. Kaedah ini mungkin agak sukar untuk mengenal pasti kulit kombinasi menggunakan satu helai kertas semata, jadi sebagai alternatif anda boleh menggunakan dua helai kertas yang berbeza, satu untuk pipi dan satu lagi untuk zon-T.

Walau bagaimanapun, jika anda telah melakukan salah satu daripada ujian ini dan mendapati bahawa anda mempunyai minyak, mengelupas atau kemerahan yang minimum pada kulit anda, maka horey! Anda mungkin merupakan salah satu unicorn dengan jenis kulit normal! Memiliki jenis kulit yang normal terasa seperti anda telah memenangi loteri, tetapi itu tidak bermaksud anda boleh bersantai, berehat dan berhenti mengikuti rutin penjagaan kulit anda.

Ini kerana jenis kulit anda boleh berubah seiring waktu. Ia tidak pernah kekal selamanya. Anggap jenis kulit anda sebagai personaliti anda sendiri. Sekiranya anda seorang introvert, kebiasaannya anda lebih suka tinggal di rumah dan membaca buku yang bagus tetapi ada juga dalam beberapa keadaan yang mana anda ingin menghadiri parti. Kulit anda juga begitu. Tetapi biasanya perubahan pada jenis kulit seseorang disebabkan oleh usia, hormon atau persekitarannya.

Cara Merawat Jenis Kulit Anda

Kulit Berminyak

Kita semua mempunyai kelenjar sebum yang menghasilkan minyak semula jadi (sebum) untuk membantu memastikan kulit kita sentiasa terhidrat dan sihat. Tetapi bagi orang yang mempunyai kulit berminyak, kelenjar sebum mereka menghasilkan terlalu banyak minyak, sehingga membuatkan kulit nampak bersinar yang tidak diingini. Tanpa penjagaan yang betul, minyak berlebihan boleh menyebabkan pori-pori tersumbat dan noda. Terdapat banyak penyebab kulit berminyak, dan ini merangkumi faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup.

Tips untuk kulit berminyak

  • Melembap dengan kerap – Orang yang mempunyai kulit berminyak sering tidak menggunakan pelembap kerana mereka berpendapat bahawa pelembap akan menjadikan kulit mereka kelihatan lebih berminyak. Itu sama sekali tidak benar. Sebenarnya, mereka yang mempunyai kulit berminyak harus SENTIASA menggunakan pelembap jika tidak, kulit mereka akan bekerja keras untuk menggantikan dan menghasilkan sebum dengan lebih banyak untuk memastikan kulit sentiasa terhidrat. Sebagai gantinya, pilih pelembap bebas minyak yang lebih ringan untuk memastikan kulit anda sentiasa terhidrat dan menghalang pengeluaran sebum.
  • Gunakan pembersih berasaskan minyak – Ini mungkin kedengaran aneh tetapi percayalah apabila kami mengatakan bahawa menggunakan pembersih berasaskan minyak adalah yang terbaik untuk mereka yang mempunyai kulit berminyak. Ini kerana sesuatu perkara itu akan tertarik pada perkara yang serupa, yang bermaksud bahawa minyak di dalam pembersih berasaskan minyak akan menarik minyak keluar dari pori-pori anda dengan lebih baik, menjadikannya lebih mudah untuk dicuci.
  • Cuci dua kali sehari – Walaupun ada orang yang boleh mencuci muka hanya sekali sehari, mereka yang mempunyai kulit berminyak harus mencuci muka dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam sebelum tidur. Mencuci dua kali sehari dapat membantu menghilangkan sebarang kotoran dan bakteria berlebihan yang boleh menyumbat liang-liang anda. Namun, jangan berlebihan! Mencuci secara berlebihan menghilangkan minyak yang diperlukan daripada kulit anda dan boleh mengakibatkan kulit sensitif dan pengeluaran sebum yang berlebihan.
Kulit Kering

Sama seperti kulit berminyak yang disebabkan oleh pengeluaran sebum yang berlebihan, kulit kering disebabkan oleh pengeluaran sebum yang kurang oleh kelenjar sebum. Walaupun meminum air dengan lebih banyak dan mengekalkan hidrasi dapat membantu kulit kering, kadang-kadang pendekatan yang lebih topikal adalah penyelesaiannya. Kemungkinan penyebab kulit kering sekali lagi boleh dikaitkan dengan genetik, faktor persekitaran atau bahkan faktor gaya hidup.

Tips untuk kulit kering

  • Elakkan air panas – Walaupun mandi dengan air yang panas setelah seharian bekerja kedengaran sangat mengujakan, air panas itu juga tidak baik untuk kulit anda. Ini kerana air panas menanggalkan kulit anda dari minyak semula jadi yang sememangnya sedikit, dan anda memerlukan lapisan minyak semula jadi itu untuk membantu memerangkap kelembapan. Sekiranya anda harus mandi, gunakan air suam dan bukannya air panas, dan cuba untuk tidak menghabiskan lebih dari 10 minit di bilik mandi.
  • Melabur untuk humidifier – Kebiasannya, kulit kering disebabkan oleh persekitaran. Sama ada menghabiskan banyak masa di bilik berhawa dingin, atau jika anda tinggal di negara yang sejuk, kekurangan kelembapan di udara dapat membuatkan kulit anda semakin kering. Pertimbangkan untuk melabur pada humidifier yang baik, kerana ia dapat menggantikan kelembapan di udara, dan membantu mengekalkan kelembapan semula jadi kulit anda.
  • Bawa mist wajah ke mana saja – Walaupun terdapat beberapa perdebatan tentang sama ada mist wajah membantu menghidrat kulit anda atau jika ianya semakin mengeringkan kulit anda, pakar dermatologi mempertimbangkan dan mengatakan bahawa apa yang penting ialah memilih mist wajah yang betul. Bagi mereka yang mempunyai kulit kering, elakkan memilih produk yang mengandungi minyak tea tree dan sitrus kerana boleh menjadikan kulit semakin kering. Sebaliknya, pilih yang mengandungi asid hyaluronik dan ekstrak mawar, kerana ia menghidrat dan anti-radang.
  • Melembap!! – Ini mungkin sesuatu yang jelas bagi mereka yang mempunyai kulit kering, tetapi gunakan pelembap anda dengan segera setelah mencuci muka semasa kulit masih lembap kerana ia dapat menyerap kelembapan dengan lebih baik. Pilih pelembap yang lebih pekat seperti yang mengandungi shea butter, ceramides, stearic acid atau gliserin.
Kulit kombinasi

Sekiranya zon-T anda berminyak tetapi pipi anda kering, maka kemungkinannya anda mempunyai kulit kombinasi. Merawat kulit kombinasi boleh menjadi agak rumit, kerana bahagian wajah anda yang berbeza mempunyai keperluan yang berbeza. Walaupun begitu, kami mempunyai beberapa petua untuk merawat kulit kombinasi anda. Kadang-kadang, kulit kombinasi boleh disebabkan oleh genetik atau produk yang kasar.

Tips untuk kulit kombinasi

  • Tukar produk anda – Oleh kerana bahagian kulit anda yang berlainan mempunyai kecenderungan yang berbeza, anda mungkin perlu bertukar antara produk, bergantian hari atau pagi dan malam, untuk memastikan kulit anda sihat dan gembira. Beberapa produk yang berkesan untuk kulit kering mungkin tidak bagus pada kulit berminyak. Cuba gunakan satu produk di zon-T anda dan satu lagi yang lain di pipi anda. Mudahnya, gunakan produk yang bersesuaian pada zon yang disasarkan sahaja.
  • Rawat Kulit Anda dengan Multi-mask – Nampaknya menggunakan topeng adalah kaedah terbaik untuk merawat kulit kombinasi. Multi-masking bermaksud menggunakan topeng muka yang berbeza untuk kawasan yang berbeza di wajah anda untuk mengatasi masalah yang berbeza pada masa yang sama. Cuba gunakan topeng muka tanah liat (clay mask) di sepanjang zon-T dan topeng muka yang menenangkan (soothing) untuk menghidratkan pipi anda.
Kulit Sensitif

Kulit sensitif sebenarnya tidak mengikut kriteria sebum yang disebutkan untuk jenis kulit yang lain, tetapi ia dicirikan oleh tanda-tanda kemerahan yang jelas kelihatan dan rasa ketat pada kulit setelah menggunakan produk. Kulit sensitif boleh disebabkan oleh faktor dalaman atau luaran. Faktor dalaman yang membawa kepada kulit sensitif termasuklah perubahan hormon, tekanan, dan kekurangan tidur; Sementara itu, faktor luaran yang boleh menyebabkan kulit sensitif adalah cuaca yang terlalu sejuk atau persekitaran yang tercemar.

Tips untuk kulit sensitif

  • Lakukan ujian tampalan – Sebelum menggunakan produk penjagaan kulit di wajah anda, sapukan sedikit produk pada tangan anda terlebih dahulu dan tunggu selama 24 jam sebelum menilai apakah ada kesan sampingan. Sekiranya kulit anda tidak bertindak balas terhadapnya, maka anda tahu ia selamat digunakan pada wajah anda.
  • Elakkan sulfat dan paraben – Sulfat dan paraben telah lama berada dalam produk penjagaan kulit akan tetapi hanya baru-baru ini kita mendapat tahu bahawa bahan-bahan ini sebenarnya berbahaya bagi kulit anda. Parabens meningkatkan kepekaan kulit sementara sulfat boleh menyebabkan jerawat.
  • Pilih produk bebas wangian – Syarikat penjagaan kulit biasanya menyembunyikan wangian mereka di sebalik “bahan pelindung” untuk mengelakkan orang lain mencuri formula wangian mereka. Apa yang dimaksudkan ialah anda sebenarnya tidak tahu apa isi produk penjagaan kulit tersebut dan apa yang anda pakai pada kulit anda. Oleh itu, agar sentiasa selamat, elakkan penggunaan produk dengan wangian untuk mengelakkan kulit sensitif.

Kesimpulan

Jenis kulit yang berbeza memerlukan rutin penjagaan kulit yang berbeza. Mengenal pasti jenis kulit anda tidaklah sesukar yang dilihat. Jenis kulit anda juga dapat berubah setelah bertahun-tahun, jadi sentiasa perhatikan dan ubah rutin penjagaan kulit anda sepertimana sepatutya jika perlu.

No Comments

Leave a Comment

error: Content is protected !!